JellyPages.com

Selasa, 6 November 2012

MAHKAMAH SYARIAH



1.0 PENDAHULUAN

Menubuh dan menegakkan badan kehakiman merupakan satu tuntutan di dalam Islam. Mahkamah yang ditubuhkan oleh pemerintah diberi tanggungjawab untuk mengendali, mengurus, mentadbir dan menjalankan tugas-tugas pengadilan dan penghakiman serta melaksanakan keputusan-keputusan dengan adil dan saksama.

Penubuhan Mahkamah Syariah adalah berdasarkan kepada Perlembagaan yang memberi kuasa kepada negeri-negeri untuk mentadbir undang-undang Islam dikategorikan kepada undang-undang diri (Personal Law) berdasarkan kehendak Jadual kesembilan Senarai 2 butiran 1. Walaubagaimanapun, ia disertakan dengan sekatan-sekatan tertentu melalui peruntukan-peruntukan perlembagaan dan Akta-akta. Di samping itu, ia juga ditubuhkan berdasarkan kehendak enakmen Pentadbiran Undang-undang Islam atau Enakmen Pentadbiran Hukum Syara’ negeri-negeri seperti Enakmen Pentadbiran Undang-undang Islam Pahang 1991, Enakmen Pentadbiran Perundangan Islam Selangor 1989 dan lain-lain lagi.


 
2.0 PENUBUHAN MAHKAMAH SYARIAH DAN PENYUSUNAN SEMULA ORGANISASI

Sebelum akhir tahun 80-an, secara amnya struktur Mahkamah Syariah adalah terdiri daripada Mahkamah Kadi, Mahkamah Kadi Besar dan yang tertinggi adalah Jawatankuasa Ulang Bicara yang melaksanakan bidangkuasa rayuan. Namun pada tahun 1986, kerajaan telah bersetuju menyusun semula struktur organisasi dan fungsi Mahkamah Syariah sebagai satu langkah untuk mempertingkatkan peranan mahkamah dan kecekapannya memberi perkhidmatan kepada orang ramai. Dengan itu, semua negeri telah mengambil tindakan meminda Enakmen Pentadbiran Undang-Undang Islam dan Enakmen Mahkamah Syariah Negeri-negeri untuk mewujudkan tiga peringkat Mahkamah, iaitu;

a) Mahkamah Rayuan Syariah

b) Mahkamah Tinggi Syariah

c) Mahkamah Rendah Syariah

Mahkamah Syariah telah dipisahkan daripada organisasi Jabatan Agama Islam negeri-negeri dan bebas dengan pengurusannya sendiri dan diketuai oleh Ketua Hakim Syarie. Jawatan-jawatan Hakim Mahkamah Tinggi Syariah, Hakim Mahkamah Rendah Syariah, Ketua Pendaftar Mahkamah Syariah, Pendaftar Mahkamah Syariah dan Penolong Pendaftar Mahkamah Syariah telah diwujudkan.

3.0 BIDANG KUASA MAHKAMAH SYARIAH

1. Mahkamah Rayuan Syariah

Mahkamah Rayuan Syariah mempunyai bidangkuasa untuk mendengar dan memutuskan apa-apa rayuan terhadap apa-apa keputusan yang dibuat oleh Mahkamah Tinggi Syariah dalam menjalankan bidangkuasa asalnya dan juga terhadap keputusan rayuannya dari Mahkamah Rendah Syariah. Kuasa ini jelas boleh dilihat di dalam peruntukkan Seksyen 67(1), Seksyen 67(2) dan Seksyen 67(3) Enakmen Pentadbiran Agama Islam (Negeri Selangor) 2003.

i. Seksyen 67(1)

Mahkamah Rayuan Syariah hendaklah mempunyai bidangkuasa untuk mendengar apa-apa rayuan terhadap apa-apa keputusan yang dibuat oleh Mahkamah Tinggi Syariah dalam bidangkuasa asalnya.

ii. Seksyen 67(2)

Apabila suatu rayuan daripada suatu keputusan Mahkamah Rendah Syariah telah diputuskan oleh Mahkamah Tinggi Syariah, Mahkamah Rayuan Syariah boleh atas permohonan mana-mana pihak memberikan kebenaran bagi pemutusan olehnya apa-apa persoalan undang-undang berkepentingan awam yang telah timbul dalam perjalanan rayun itu dan keputusannya oleh Mahkamah Tinggi Syariah telah menyentuh keputusan rayuan itu.

iii. Seksyen 67(3)

Apabila kebenaran telah diberikan oleh Mahkamah Rayuan Syariah, ia hendaklah mendengar dan memutuskan persoalan yang dibenarkan dirujukkan bagi keputusannya dan membuat apa-apa perintah yang dibuat oleh Mahkamah Tinggi Syariah dan sebagaimana yang difikirkan adil bagi pemberesan rayuan itu.

Mahkamah Rayuan Syariah juga mempunyai bidangkuasa pengawasan dan penyemakan ke atas Mahkamah Tinggi Syariah. Hal ini telah diperuntukkan di dalam Seksyen 68(1) dalam Akta yang sama. Seksyen tersebut telah memperuntukkan bahawa:

Mahkamah Rayuan Syariah hendaklah mempunyai bidangkuasa pengawasan dan penyemakan ke atas Mahkamah Tinggi Syariah dan boleh, jika nampaknya dikehendaki demi kepentingan keadilan, sama ada atas kehendaknya sendiri atau atas kehendak mana-mana pihak atau orang yang berkepentingan, pada mana-mana peringkat dalam apa-apa perkara atau prosiding, sama ada mal atau jenayah, memanggil dan memeriksa mana-mana rekod mengenai apa-apa arahan yang dikehendaki demi keadilan.

2. Mahkamah Tinggi Syariah

Mahkamah Tinggi Syariah Negeri Selangor mempunyai bidangkuasa di Seluruh Negeri Selangor. Peruntukan ini terkandung dalam Enakmen Pentadbiran Agama Islam (Negeri Selangor) 2003. Berkenaan dengan jenis bidang kuasanya, ianya terbahagi kepada dua iaitu bidangkuasa jenayah dan bidangkuasa mal/sivil. Seksyen 61(3)(a) & (b) telah memperuntukkan bidang kuasa jenayah Mahkamah Tinggi Syariah. Peruntukkan tersebut berbunyi:


67(3) Mahkamah Tinggi Syariah hendaklah;

(a) Dalam bidang kuasa jenayahnya, membicarakan apa-apa kesalahan yang dilakukan oleh seseorang Islam dan boleh dihukum di bawah Enakmen Jenayah Syariah (Selangor) 1995 [En. No.9/1995] atau di bawah mana-mana undang bertulis lain yang menetapkan kesalahan-kesalahan terhadap rukun-rukun agama Islam, dan boleh mengenakan apa-apa hukuman yang diperuntukan bagi kesalahan itu; dan

(b) Dalam bidang kuasa malnya, mendengar dan memutuskan semua tindakan dan prosiding dalam mana semua pihak adalah orang Islam dan yang berhubungan dengan;


i. Pertunangan, perkahwinan, ruju’, perceraian, pembubaran perkahwinan (fasakh), nusyuz, atau pemisahan kehakiman (faraq) atau apa-apa perkara yang berkaitan dengan perhubungan di antara suami isteri.

ii. Apa-apa pelupusan atau tuntutan harta yang berbangkit daripada mana-mana perkara yang dinyatakan dalam subperenggan (i);

iii. Nafkah orang-orang tanggungan, kesahtarafan, atau penjagaan atau jagaan (hadhanah) budak-budak;

iv. Pembahagian atau tuntutan harta sepencarian;

v. Wasiat atau alang semasa marad-al-maut;
vi. Alang semasa hidup, atau penyelesaian yang dibuat tanpa balasan yang memadai dengan wang atau nilaian wang, oleh seorang Islam;

vii. Wakaf atau nazr;

viii. Pembahagian dan pewarisan harta berwasiat atau tak berwasiat;

ix. Penentuan orang-orang yang berhak kepada bahagian farta pusaka seseorang yang matu yang beragama Islam atau bahagian-bahagian yang kepadanya masing-masing orang itu berhak;

x. Pengisytiharan bahawa seseorang itu bukan lagi seorang Islam;

xi. Pengishtiharan bahawa seseorang yang telah mati itu ialah seorang islam atau sebaliknya pada masa kematiannya; dan

xii. Pentadbiran masjid-masjid; dan

xiii. Perkara-perkara lain yang berkenaan dengannya bidang kuasa diberikan oleh mana-mana undang undang bertulis.

3. Mahkamah Rendah Syariah

Mahkamah Rendah Syariah Negeri Selangor ditubuhkan berdasarkan peruntukan di bawah Seksyen 55(1) Enakmen Pentadbiran Agama Islam (Negeri Selangor) 2003. Akta tersebut memperuntukan bahawa “Duli Yang Maha Mulia Sultan, di atas nasihat majlis melalui pemberitahuan dalam Warta menubuhkan Mahkamah Rendah Syariah bagi Negeri Selangor di tempat-tempat yang difikirkannya patut.

Bidang kuasa Mahkamah Rendah Syariah pula diperuntukan di bawah Seksyen 62(1) iaitu sesuatu Mahkamah Rendah Syariah hendaklah mempunyai bidang kuasa di seluruh Negeri Selangor dan hendaklah diketuai oleh seorang Hakim Mahkamah Rendah.

Selain itu dalam Seksyen 62(2) dalam akta yang sama menjelaskan bidang kuasa Mahakamha Rendah Syariah iaitu:

(a) Dalam bidang kuasa jenayahnya membicarakan apa-apa kesalahan yang dilakukan oleh seorang orang Islam di bawah Enakmen Jenayah Syariah (Selangor) 1995 atau mana-mana undang-undang bertulis lain yang menetapkan kesalahan-kesalahan terhadap rukun-rukun agama Islam yang baginya hukuman maksimum yang diperuntukan oleh Enakmen atau mana-mana undang-undang bertulis itu tidak melebihi tiga ribu ringgit, atau pemenjaraan selama tempoh dua tahun atau kedua-duanya, dan boleh mengenakan mana-mana hukuman yang diperuntukan bagi kesalahan itu; dan

(b) Dalam bidang kuasa malnya, mendengar dan memutuskan semua tindakan dan prosiding yang Mahkamah Tinggi Syariah diberi kuasa untuk mendengar dan memutuskannya,jika amaun atau nilai hal perkara yang dipertikaikan itu tidak melebihi seratus ribu ringgit atau tidak dapat dianggarkan dengan wang (tidak termasuk tuntutan hadhanah atau harta sepencarian).


4.0 PERLANTIKAN PEGAWAI-PEGAWAI MAHKAMAH

a) Hakim

Ketua Hakim Syarie: Di Wilayah Persekutuan, Yang di-Pertuan Agong boleh, atas nasihat Menteri, selepas berunding dengan Majlis, melantik seorang Ketua Hakim Syarie. Kelayakan-kelayakan yang ditetapkan adalah seperti berikut:

i. Seorang warganegara

ii. (i) Selama tidak kurang daripada sepuluh tahun sebelum perlantikannya, telah memegang jawatan Hakim Mahkamah Tinggi atau Kadi atau Pendaftar atau Pendakwa Syarie sesuatu negeri atau pada suatu masa memegang mana-mana satu daripada jawatan itu dan pada masa yang lain memegang mana-mana yang lain pula; atau

(ii) Seorang yang arif tentang Hukum Syarak.

Di Pahang, Ketua Hakim Syarie dan Hakim Mahkamah Tinggi Syariah dilantik oleh Sultan atas nasihat Majlis. Dalam pada itu, sebelum memberi nasihat kepada Sultan untuk perlantikan Hakim Mahkamah Tinggi Syariah, Majlis hendaklah merujuk kepada Ketua Hakim Syarie. Kelayakan yang diletakkan adalah seperti berikut:

i. Seorang lelaki Islam;

ii. Seorang warganegara;

iii. Selama tempoh tidak kurang daripada 10 tahun sebelum perlantikannya telah beramali sebagai Peguam Syarie di mana-mana Mahkamah Syariah atau sebagai anggota Mahkamah Syariah atau mempunyai kepakaran dalam perundangan Islam.

Hakim-Hakim Mahkamah Rayuan Syariah: YD Pertuan Agong dengan nasihat menteri selepas berunding dengan Majlis boleh melantik tidak lebih daripada 7 orang Islam untuk menubuhkan suatu panel tetap hakim. Ketua Hakim Syarie hendaklah memilih dua daripada kalangan mereka untuk membentuk korum hakim Mahkamah Rayuan Syariah berkenaan dengan tiap-tiap pendengaran kes. Setiap perlantikan akan berjalan selama tidak lebih dari 3 tahun. Semua perlantikan di atas hendaklah disiarkan dalam Warta.

Hakim-Hakim Mahkamah Tinggi Syariah: YD Pertuan Agong dengan nasihat menteri selepas berunding dengan Majlis boleh melantik hakim-hakim untuk Mahkamah Tinggi Syariah. Seseorang itu layak dilantik jika memenuhi syarat-syarat berikut:

i. Seorang warganegara; dan

ii. (i) Selama tidak kurang daripada sepuluh tahun sebelum perlantikannya, telah memegang jawatan Hakim Mahkamah Rendah Syariah atau Kadi atau Pendaftar atau Pendakwa Syarie sesuatu negeri atau pada suatu masa memegang mana-mana satu daripada jawatan itu dan pada masa yang lain memegang mana-mana yang lain pula.

(ii) Seorang yang arif tentang Hukum Syarak.

Hakim Mahkamah Rendah Syariah: Bagi jawatan ini, YD Pertuan Agong atas syor Ketua Hakim Syarie boleh melantik daripada kalangan anggota perkhidmatan awam am Persekutuan ke jawatan tersebut. Di Pahang, Hakim Mahkamah Rendah Syariah akan dilantik oleh Sultan atas perakuan Ketua Hakim Syarie. Mereka yang dilantik itu mestilah seorang anggota Perkhidmatan Pegawai Syariah Negeri Pahang atau Perkhidmatan Awam.

Di Pahang memperuntukkan seorang Ketua Hakim Syarie, Hakim Mahkamah Rayuan Syariah boleh memegang jawatan sehingga mencapai umur 65 tahun. Namun Sultan boleh meluluskan lanjutan untuk tempoh 6 bulan lagi. Hakim Mahkamah Tinggi Syariah boleh dipecat atas laporan Ketua Hakim Syarie kepada Sultan dengan sebab kelakuannya yang tidak baik; atau dia tidak berkeupayaan oleh kerana kelemahan tubuh atau otak atau apa-apa sebab lain untuk menyempurnakan tugas dengan sepatutnya. Suatu tribunal khas hendaklah dibentuk bagi memperakukan laporan tersebut.

b) Pendaftar Mahkamah Syariah

Di Wilayah Persekutuan, YD Pertuan Agong atas nasihat Ketua Hakim Syarie boleh melantik daripada kalangan anggota perkhidmatan am Persekutuan, seorang Ketua Pendaftar Mahkamah Rayuan Syariah, Pendaftar Mahkamah Tinggi Syariah dan Penolong-Penolong Pendaftar Mahkamah Rendah Syariah. Sementara di Pahang pula, jawatan tersebut akan dilantik oleh Sultan atas nasihat Ketua Hakim Syarie.

5.0 PENDAKWAAN DAN PERWAKILAN

a) Pendakwa Syarie

YD Pertuan Agong boleh atas nasihat menteri, melantik seorang yang berkelayakan menjadi Hakim Mahkamah Tinggi Syariah, menjadi Ketua Pendakwa Syarie. Ketua Pendakwa Syarie yang dilantik diberi bidangkuasa untuk memulakan dan menjalankan apa-apa prosiding bagi sesuatu kesalahan di hadapan Mahkamah Syariah.

Ketua Pendakwa Syarie seterusnya boleh melantik orang yang layak dan sesuai daripada kalangan anggota perkhidmatan awam am Persekutuan menjadi Pendakwa Syarie. Mereka akan bertindak di bawah kawalan am dan arahan Ketua Pendakwa Syarie dan boleh menjalankan semua atau mana-mana hak dan kuasa yang terletak hak pada atau yang boleh dijalankan oleh Ketua Pendakwa Syarie sendiri.

Di Pahang, Timbalan Pendakwa Syarie dilantik oleh Majlis. Mereka akan bertindak di bawah kawalan dan arahan am Ketua Pendakwa Syarie. Timbalan Pendakwa Syarie boleh menjalankan semua atau mana-mana hak dan kuasa yang diberikan kepada Ketua Pendakwa Syarie kecuali hak atau kuasa yang diperuntukkan mesti dijalankan oleh Ketua Pendakwa Syarie sendiri.

b) Pegawai Penguatkuasa Agama

Majlis boleh melantik Pegawai Penguatkuasa Agama yang tugasnya untuk membantu dalam penyiasatan kesalahan-kesalahan di bawah enakmen atau di bawah mana-mana undang-undang lain yang berkaian dengan kesalahan-kesalahan syarak. Di Wilayah Persekutuan pula, Majlis boleh melantik daripada kalangan anggota perkhidmatan awam am Persekutuan, seorang Ketua Pegawai Penguatkuasa Agama dan Pegawai-Pegawai Penguatkuasa Agama bagi menjalankan tugas-tugas penyiasatan seperti di atas.

c) Peguam Syarie

Di Wilayah Persekutuan, Majlis boleh menerima (setelah dibayar fee) orang-orang yang mempunyai pengetahuan yang mencukupi tentang Hukum Syarak, menjadi peguam syarie mewakili mana-mana pihak dalam apa-apa prosiding di hadapan mana-mana Mahkamah Syariah. Peruntukan-peruntukan lain yang berkaitan dengan prosedur lantikan, kelayakan dan fee-fee bagi penerimaan sebagai peguam syarie serta untuk mengawal selia dan mengawasi kelakuan peguam syarie, adalah dibuat oleh Majlis dengan kelulusan YD Pertuan Agong. Mana-mana orang selain daripada peguam syarie tidak dibenarkan mewakili mana-mana pihak dalam mana-mana Mahkamah Syariah.


6.0 LAIN-LAIN PERKARA BERKAITAN

a) Peraturan Bersaling Dengan Negeri Lain

Ada beberapa negeri yang telah memasukkan peruntukan ini di dalam enakmen pentadbiran undang-undang Islam masing-masing, antaranya Pahang dan Perak. Peruntukan ini membolehkan suatu saman untuk hadir di Mahkamah Syariah disampaikan kepada si penama sama ada orang itu berada di dalam negeri ataupun di negeri-negeri lain. Di Pahang peruntukan menyebut:

(1) Jika Mahkamah Syariah atau hakimnya mengeluarkan saman di bawah peruntukan mana-mana undang-undang yang berkuatkuasa dalam mana-mana satu daripada negeri yang dinyatakan dalam Jadual Kedua (senarai negeri-negeri di Malaysia) memanggil mana-mana orang supaya hadir di mana-mana Mahkamah Syariah dalam negeri itu dan orang itu berada atau dipercayai berada dalam negeri Pahang, maka Hakim Mahkamah Syariah dalam negeri Pahang boleh mengesahkan saman itu dengan menandatanganinya dan saman itu boleh disampaikan kepada orang itu seolah-olah saman itu telah dikeluarkan oleh mana-mana Mahkamah Syariah dalam negeri Pahang.

(2) Jika Mahkamah Syariah atau hakimnya dalam negeri Pahang mengeluarkan saman memanggil mana-mana orang supaya hadir di Mahkamah Syariah itu dan orang itu berada atau dipercayai berada di dalam mana-mana negeri yang dinyatakan dalam Jadual Kedua dan saman itu telah disampaikan kepada orang itu menurut peruntukan mana-mana undang-undang yang berkuatkuasa di negeri itu, maka saman itu hendaklah bagi maksud enakmen ini disifatkan sebagai telah disampaikan dengan sah seolah-olah penyampaian itu telah disempurnakan dalam negeri Pahang.

b) Bidangkuasa Hanya Ke Atas Orang Islam


Mahkamah Syariah tidak boleh membicarakan dan menghukum orang-orang yang tidak menganut agama Islam. Ini kerana bidangkuasanya hanyalah ke atas orang Islam sahaja. Contohnya, jika perempuan Islam berkhalwat dengan orang bukan Islam, bidangkuasa Mahkamah Syariah hanya ke atas perempuan Islam itu sahaja. Seksyen 64 EPUUI Pahang 1991 umpamanya memperuntukkan:

Tiada suatupun keputusan Mahkamah Rendah Syariah, Mahkamah Tinggi Syariah dan Mahkamah Rayuan Syariah boleh menjejaskan atau melibatkan hak, kepentingan atau harta seseorang bukan Islam.

c) Enakmen Mahkamah Syariah Berasingan

Bagi memperkemaskan lagi pentadbiran Mahkamah Syariah, beberapa negeri telah mempunyai enakmen khusus untuk Mahkamah Syariah. Contohnya, Enakmen Pentadbiran Mahkamah Syariah Kelantan 1983, Enakmen Pentadbiran Mahkamah Syariah Kedah 1985, Enakmen Mahkamah Syariah Negeri Sembilan 1985, dan Undang-Undang Mahkamah Syariah Sarawak 1985.

7.0 RUMUSAN

Struktur dan bidangkuasa Mahkamah Syariah di Malaysia kini telah melalui pelbagai perubahan positif. Namun demikian sehingga hari ini Mahkamah Syariah bukanlah sebahagian daripada sistem kehakiman negara. Selain daripada itu bidangkuasa yang diberikan dalam perkara jenayah juga masih terlalu dari yang sepatutnya. Lantas namanya sebagai Mahkamah Syariah juga kadangkala dipersoalkan disebabkan bidangkuasanya yang amat terhad sebagaimana yang dikongkong oleh undang-undang Persekutuan.

RUJUKAN

1. Ahmad Mohamed Ibrahim, Pentadbiran Undang-Undang Islam di Malaysia, 1997, Institut Kefahaman Islam Malaysia.

2. www.jakess.gov.my.

3. Abdul Monir Yaacob, Sistem Kehakiman Islam, 2001, Institut Kefahaman Islam Malaysia, halaman 51.

Tiada ulasan: