JellyPages.com

Selasa, 6 November 2012

MANHAJ IMAM MUSLIM



1.0 RIWAYAT HIDUP IMAM MUSLIM

Nama sebenar Imam Muslim ialah Muslim bin al-Hajjaj bin Muslim al-Qusyairi Abu al-Husain al-Nisaburi. Beliau dilahirkan di Nisabur pada bulan Rejab tahun 204 H bersamaan 820 M dan beliau meninggal dunia pada bulan Rejab tahun 261 H di Kota Nasr Abad, Nisabur.

Beliau berasal daripada keturunan yang mulia dan terhormat serta terdidik dalam suasana dan keluarga yang berilmu. Imam Muslim juga adalah seorang yang kuat beribadat, sangat menghormati gurunya, bertaqwa, warak, berani dan tawaduk.

Imam Muslim pernah melawat Hijaz, Iraq, Syam dan Mesir untuk mempelajari hadis daripada ulama hadis di sana. Beliau meriwayatkan hadis dari Muhammad bin Yahya al-Zuhli, Ahmad bin Hanbal, Ishaq bin Rahawaih, Imam al-Bukhori dan lain-lain lagi.


2.0 PENDIDIKAN

Imam Muslim mempunyai kepintaran yang luar biasa dan kecerdasan ingatan serta kefahaman yang tajam. Beliau merupakan seorang yang gemar dan sangat cinta kepada ilmu pengetahuan serta suka berbincang dengan ulama. Imam Muslim telah mempelajari al-Quran, Kesusasteraan Arab serta Tatabahasa Arab.

Peringkat awalnya Imam Muslim mempelajari ilmu Hadis di Nisabur. Selepas itu beliau meneruskan pengajiannya dalam bidang tersebut dengan ulama terkemuka, khususnya di Mekah, Madinah, Iraq, Syam, Syria, Khurasan dan Mesir.

Beliau memberi penumpuan yang penuh untuk mempelajari dan mendalami tentang hadis ketika berumur 15 tahun. Untuk itu, beliau telah melakukan pengembaraan ke merata tempat untuk mengumpul hadis dan mempelajari hadis dengan mendalam. Pada tahun 259 Hijrah beliau telah mengunjungi Baghdad dan mendalami ilmu Hadis dan agama daripada ulama di situ.

Imam Muslim juga banyak mempelajari ilmu daripada Imam Bukhori, khususnya ketika Imam al-Bukhori datang ke Nisabur. Imam Muslim telah mendampingi Imam al-Bukhori untuk mempelajari hadis dan beliau menganggap Imam Bukhori sebagai ketua dalam bidang Hadis.


3.0 GURU-GURU IMAM MUSLIM

Antara ulama terkenal yang mengajar ilmu Hadis kepada Imam Muslim ialah:

1. Muhammad bin Yahya al-Zuhli al-Nisaburi

2. Said bin Mansur

3. Ahmad bin Yunus

4. Imam al-Bukhori

5. Imam Ahmad bin Hanbal

6. Ibn Rahawaih

7. Muhammad bin Mahran

8. Zuhair bin Harb

9. Uthman bin Abu Syaibah

10. Ibn Ma’in

4.0 MURID-MURID IMAM MUSLIM

Murid-murid atau orang yang meriwayatkan hadis daripada beliau ialah:

1. Yahya bin Sa’id

2. Imam al-Tirmidzi

3. Ibrahim bin Muhammad bin Sufian

4. Muhammad bin Ishaq bin Khuzaymah

5. Muhammad bin Abdul Wahab al-Farra’

6. Ali bin Husain

7. Abu Hamid Ahmad bin Muhammad al-Syarqi

8. Hatim bin Ahmad al-Kindi

9. Muhammad bin Mukhlid

10. Ibn al-Mubarak

11. Abu ‘Awanah

12. Ibn Siraj

5.0 MANHAJ IMAM MUSLIM DI DALAM KITAB SAHIHNYA

1. Imam Muslim menyusun kitabnya dengan kitab-kitab fikah dan membahagikannya kepada bab-bab. Tetapi beliau tidak mensyarahkan bab-bab tersebut supaya tidak menjadi terlalu panjang.

2. Imam Muslim meletakkan mukaddimah di dalam kitab Sahihnya, tidak seperti Imam Bukhori. Beliau menceritakan maklumat-maklumat seperti ilmu rijal, cara periwayatan beliau, hal keadaan perawi dan lain-lain.

3. Imam Muslim meletakkan hadis-hadis muallaq (terputus sanad) pada satu tempat di bawah satu tajuk, dan tidak berulang-ulang di dalam Kitab Sahihnya.

4. Beliau mengarang kitab Sahihnya di negerinya sendiri.

5. Istimewanya kitab Sahih Muslim adalah pada cara penggunaan lafaz. Imam Muslim membezakan penggunaan lafaz ‘haddasana’ dan ‘akhbarana’. Lafaz ‘haddasana’ digunakan pada hadis yang beliau ambil sendiri daripada guru beliau manakala ‘akhbarana’ digunakan pada hadis yang beliau bacakan pada gurunya.

6. Sahih Muslim adalah mudah untuk dibaca kerana hadis muallaq dihimpunkan di dalam satu tempat.

7. Bilangan kitabnya adalah 45 kitab tidak termasuk muqaddimah, bermula dengan kitab iman dan berakhir dengan kitab tafsir. Bilangan bab-bab di dalam sahihnya pula ialah 1329 bab.


6.0 BILANGAN HADIS-HADIS DI DALAM SAHIH MUSLIM

Terdapat dua pendapat tentang bilangan hadis di dalam kitab Sahih Muslim, iaitu:

1. Menurut pendapat al-‘Araqiy, bilangan hadis di dalam Sahih Muslim adalah 4000 buah hadis tidak termasuk yang matannya tidak berulang-ulang.

2. Menurut pendapat Muhammad Fuad Abdul Baqi, jumlah hadis sahih yang matannya tidak berulang-ulang adalah sebanyak 3033 buah hadis.

Keseluruhan hadis sahih yang terdapat dalam kitab Sahih Imam Muslim adalah berjumlah 7275 buah hadis.


7.0 KEDUDUKAN DAN KEISTIMEWAAN SAHIH MUSLIM

Sahih Muslim mengandungi 7275 buah hadis sahih termasuk yang matannya disebut-sebut berulang-ulang. Jumlah hadis sahih yang matannya tidak berulang-ulang berjumlah 4000 buah hadis. Kitab Sahih Muslim dikumpulkan di dalam 54 tajuk yang dikenali dengan: Kitab.

Terdapat hadis sahih yang ditinggalkan oleh Imam al-Bukhari telah diambil oleh Imam Muslim dan dimasukkan ke dalam Sahihnya, setelah meneliti kesahihan hadis-hadis tersebut. Antaranya ialah hadis yang diriwayatkan oleh Suhayl bin Abu Salih, Hammad bin Salamah dan Daud bin Hind.

Antara kelebihan kitab Sahih Muslim ialah ia mengandungi 54 tajuk yang merangkumi bidang: Ibadat, Muamalat, Jihad, Zikir, Doa serra Fada’il al-A’mal. Antara bukti keistimewaan Kitab Sahih Muslim ialah:

1. Tidak ada sebarang penambahan atau kritikan dan pengurangan terhadap Kitab Sahih itu pada zaman beliau juga selepas kematian beliau hingga sekarang.

2. Jumhur ulama bersetuju dan bersepakat mengiktiraf kedudukan kitab Sahih Muslim sebagai kitab kedua selepas kitab Sahih al-Bukhari.

3. Sahih Muslim merupakan kitab yang paling sahih selepas kitab Sahih al-Bukhari dan pelengkap kepada kitab gurunya. Sebagaimana kata-kata Imam Muslim sendiri, “Aku kumpulkan hadis-hadis supaya aku dan orang yang menulis hadisku mempunyai satu kumpulan hadis yang tidak diragui kebenarannya.

4. Sahih Muslim juga dianggap istimewa kerana mempunyai ciri-ciri berikut:

a. Metodologinya berbeza dengan metodologi Imam al-Bukhari. Di mana beliau mengumpulkan matan-matan yang berbeza di dalam satu riwayat di satu tempat tanpa dipecahkan kepada beberapa bab.

b. Penjelasannya tidak terputus-putus, tetapi mengikut langkah-langkah yang teratur di dalam judul-judul yang tertentu.

c. Mengumpulkan segala jalan hadis di satu tempat. Di mana mudah untuk kita mencarinya dan mengeluarkan hukum daripadanya.

d. Tidak banyak hadis-hadis yang berulang dan akan cuba mengelakkannya jika boleh.


8.0 ULASAN DAN HURAIAN KITAB SAHIH MUSLIM

1. Syarh al-Nawawi ‘ala Muslim

2. al-Minhaj, syarah Yahya bin Syarf al-Nawawi

3. Syarh Ibn Khalifah al-Maliki

4. al-Ikmal, syarah al-Qadi ‘Iyad

5. Syarh al-Qurtubi

6. Syarh Ahmad bin Muhammad al-Khatib al-Qastalani

7. Syarh Mila Ali al-Qari

8. Syarh Jalal al-Din al-Suyuti


Antara ulama yang membuat ringkasan terhadap kitab Sahih Muslim pula ialah:

1. Talkhis Kitab Muslim wa Syarhih, oleh Ahmad bin Umar al-Qurtubi

2. Mukhtasar al-Imam Zakiy al-Din al-Mundhiri

3. Muktasar Zawa’id Muslim ‘ala al-Bukhori

4. Asma’wa Tarajum Rijal Muslim, oleh Abu Bakar al-Asbahani

5. Tasmiah man Akhrajahum al-Bukhori wa Muslim, oleh al-Hakim

6. Rijal Sahih Muslim, oleh Ibn Manjawaih


Sebagai rumusannya, kitab Sahih Muslim lebih senang dibuat rujukan oleh para pengkaji kerana ia lebih tersusun mengikut bab-bab tanpa bercampur-aduk antara satu sama lain.

9.0 SUMBANGAN IMAM MUSLIM

Imam Muslim telah meninggalkan jasa yang besar kepada umat Islam amnya dan dalam perkembangan ilmu Hadis khususnya. Antara hasil karya beliau ialah:

1. Kitab al-Mukhadramin

2. al-Musnad al-Kabir

3. Kitab al-‘Illal

4. Kitab Tabaqat al-Tabi’in

5. Kitab Awham al-Muhaddithin

6. Kitab al-Tamyiz


10.0 RUMUSAN

Imam Muslim telah memberikan sumbangan yang sangat besar kepada umat Islam melalui kitabnya, iaitu Sahih Muslim. Kitab Sahih Muslim senang dirujuk kerana Imam Muslim telah menyusunnya ke dalam bab-bab. Selain itu, di dalam kitab Sahih Muslim juga terdapat Muqaddimah sebelum masuk kepada bab-bab.

Kesimpulannya, segala usaha Imam Muslim dalam perkembangan ilmu Hadis haruslah kita hargai dan manfaatkan sepenuhnya.

RUJUKAN

1. Dr. Rosmawati Ali @ Mat Zin, Pengantar Ulum Hadis Edisi Kedua, 2005, Pustaka Salam, halaman 291-297.

2. Manahij al-Muhaddisin, Kuliyyah Usuluddin, Jami’ah al-Azhar, halaman 58-67.

3. http://dinulislam.saifulbahri.net/index.php/Hadith-Umum/Sejarah-Imam-Hadith-Imam-Muslim.html



Tiada ulasan: