JellyPages.com

Selasa, 6 November 2012

SEJARAH PERKEMBANGAN HUKUM ISLAM



1.0 PENGENALAN

Hukum Islam boleh ditakrifkan dengan pengertian Syariat, iaitu hukum-hukum yang ditetapkan oleh Allah s.w.t. untuk hamba-Nya, sama ada yang berkaitan dengan akidah, ibadah, akhlak, muamalat dan sistem-sistem hidup dalam pelbagai aspek demi untuk kebahagiaan mereka di dunia dan di akhirat.

Hukum-hukum ini dinamakan Syariah kerana lurus dan tidak menyimpang sistemnya dari matlamatnya, seperti landasan yang lurus dan tiada bengkang-bengkok. Ia juga menyerupai sumber air, yang mana Syariah dapat menghidupkan segala jiwa dan akal sebagaimana sumber air itu dapat menghidupkan tubuh badan manusia.

Pembinaan Syariat Islam hanya berlaku pada zaman baginda Rasulullah masih hidup. Allah tidak memberi kuasa perundangan Syariah melainkan kepada nabi-Nya sahaja. Baginda berpegang kepada dua wahyu iaitu al-Quran dan as-Sunnah. Maka pada waktu hidup bagindalah, prinsip-prinsip umum Islam diciptakan dan hukum-hakam diwujudkan. Ringkasnya, kaedah-kaedah (prinsip-prinsip) Syariat ini sudah dimantapkan, dasar-dasarnya telah ditegak dan disempurnakan pada zaman nabi Muhammad s.a.w.

 
2.0 PERUNDANGAN DUNIA PADA SAAT KELAHIRAN SYARIAT

 
Zaman sebelum kedatangan Islam selalunya disebut sebagai zaman jahiliyyah. Walau bagaimanapun tidaklah istilah jahiliyyah itu terus mengertikan bahawa manusia di kala itu bodoh-bodoh belaka dan tidak tahu mengatur cara hidup mereka dengan cara yang munasabah. Sesungguhnya istilah jahiliyyah itu lebih banyak mengertikan kejahilan umat manusia pada waktu itu tentang nilai-nilai akidah dan keagamaan yang sebenar dan bukannya membabitkan secara serius hal-hal mengenai peraturan atau penyusunan hidup fizikal atau disebut sebagai hidup duniawi.

Sejarah mencatatkan bahawa pada saat kelahiran Syariat Islam pada abad yang ketujuh itu dunia telah mempunyai masyarakat manusia yang bernilai tinggi tamadunnya di banyak bidang. Khusus di dalam bidang undang-undang dan peraturan masyarakat, sekurang-kurangnya kita terpaksa mengambil kira kemajuan yang telah dicapai oleh masyarakat Romawi di sebelah barat dan Parsi di sebelah timur pada waktu itu. Tidak terkecuali, kita juga perlu menilai apa yang sebenarnya telah dicapai oleh masyarakat Semenanjung Tanah Arab sendiri. Walau bagaimanapun ini tidak semestinya bererti bahawa hanya itulah sahaja masyarakat-masyarakat yang telah mempunyai tamadun yang tinggi pada waktu itu. Masyarakat-masyarakat seperti itu memang telah ada di sebelah timur jauh, seperti di China dan India. Hanya amat sukar bagi kita untuk memastikan bahawa interaksi telah berlaku antara tamadun timur ini dengan tamadun atau masyarakat timur tengah pada waktu itu.

Keagungan masyarakat Parsi pada waktu itu memang diakui oleh semua ahli sejarah. Meskipun masyarakat itu terasas atas kepercayaan animisme yang bertunjangkan penyembahan terhadap alam semulajadi namun mereka telah mempunyai peraturan-peraturan hidup yang sudah maju. Dari segi politik mereka telah menjadi suatu kuasa penjajah yang berpengaruh, dan dari segi tamadun mereka telah membina tamadun mereka sendiri yang dikenal sebagai tamadun Parsi. Kedudukan yang sama telah juga mereka capai di bidang undang-undang dan peraturan masyarakat di mana mereka telah mempunyai peraturan-peraturan yang jelas tentang keluarga, pemilikan, perhambaan dan peraturan-peraturan awam.

Masyarakat Romawi yang berasaskan falsafah Yunani dan kemudiannya Romawi itu juga mempunyai tamadun yang tinggi pada waktu itu. Dari segi falsafah mereka merupakan pewaris falsafah Socrates, Plato dan Aristotle. Dari segi politik, mereka merupakan penjajah yang berkesan di daerah laut Mediterranean, yang termasuk Syam (Syria), Mesir dan Morocco yang menganuti agama Kristian itu. Dari segi undang-undang mereka merupakan masyarakat yang paling maju dan terpengaruh pada waktu itu. Mereka telah mempunyai undang-undang dan peraturan keluarga, peraturan sivil, jenayah dan sebagainya. Di samping mereka ini terdapat juga gerombolan-gerombolan Yahudi yang bertaburan di serata daerah di sebelah utara Semenanjung Tanah Arab di mana terletaknya Kota Yathrib. Mereka ini juga mempunyai akidah dan peraturan hidup mereka sendiri.

Sedangkan bangsa Arab sendiri kebanyakan dari masyarakatnya masih hidup secara kuno yang berpindah-randah di padang pasir yang kontang itu. Mereka ini dikenal sebagai masyarakat Badwi. Masyarakat mereka dijalin oleh persatuan kabilah yang bersendikan adat dan kepercayaan. Masyarakat ini biasanya diketuai oleh ketua-ketua kabilah yang akan bertindak menyelesaikan segala pertikaian yang timbul dalam kalangan mereka. Ketua-ketua kabilah inilah yang mempunyai kuasa ke atas setiap anggotanya. Walau bagaimanapun mereka juga mempunyai peraturan-peraturan yang jelas dalam beberapa hal mengenai masyarakat mereka, seperti hal-hal kekeluargaan, jenayah dan sebagainya.

Sebahagian lain dari bangsa Arab ini tinggal di kawasan-kawasan yang lebih maju seperti Mekah, Yathrib dan Taif. Mereka ini bekerja dengan cara bertani, bertukang dan berniaga. Kegiatan-kegiatan mereka ini telah melahirkan peraturan dan kaedah perhubungan antara mereka termasuk yang mengenai hal-hal kewangan dan perdagangan. Pertumbuhan norma-norma hukum dan peraturan ini telah dipesatkan lagi dengan wujudnya pusat-pusat perdagangan yang besar-besar di daerah mereka dan juga perhimpunan-perhimpunan Haji yang berlaku pada setiap tahun di Mekah.

Masyarakat Arab ini, walau bagaimanapun, tidak terpisah dari pergolakan yang berlaku di luar Semenanjung Tanah Arab. Dari segi politik, Semenanjung Tanah Arab telah menjadi sempadan yang strategik antara dua kuasa penjajah Parsi di sebelah timur dan Rome di sebelah barat. Kedudukan ini telah memberi keuntungan politik yang besar kepada masyarakat Arab di mana kedua-dua kerajaan besar tersebut telah melantik orang-orang Arab sebagai Gabenor-Gabenor bagi daerah-daerah yang bersempadankan Semenanjung Tanah Arab itu seperti Hirah di sebelah timur dan Syam di sebelah barat.

Hubungan secara langsung dengan kerajaan-kerajaan yang bersempadan itu telah meninggalkan pengaruh yang besar kepada masyarakat Arab termasuk di bidang undang-undang dan hukum. Di samping itu orang-orang Arab juga pernah menerima pengaruh dari masyarakat kecil Yahudi yang menduduki daerah-daerah seperti Khaibar dan Yathrib, begitu juga dari masyarakat Kristian yang menduduki daerah Najran.

Meskipun bangsa Arab ini mewarisi sedikit sebanyak pengajaran Nabi Ibrahim namun mereka tidak banyak terbentuk melalui ajaran itu. Ini kerana tabiat mereka yang kasar itu dan juga kurangnya pengetahuan serta cengkaman pengaruh animisme yang mendalam dalam kalangan mereka. Namun begitu, mereka mempunyai tradisi dan adat istiadat mereka sendiri yang menjadi peraturan hidup. Peraturan hidup dan bermasyarakat yang bertunjangkan adat ini mencakupi hal-hal makan minum, kekeluargaan, hubungan perdagangan, jenayah dan sebagainya. Kesimpulannya, pada saat kelahiran Syariat Islam sebagai asas kepada hukum Islam itu, dunia telah sedia mempunyai berbagai-bagai bentuk sistem perundangan. Ia tentunya akan sedikit sebanyak mempengaruhi perkembangan hukum Islam sendiri khasnya dalam hal-hal yang membolehkan para fuqaha’ mengambil kira adat istiadat dan realiti semasa dalam ijtihad mereka.

3.0 KELAHIRAN SYARIAT DAN TERASASNYA HUKUM ISLAM

 
Hukum Islam yang sebenarnya tidak lain adalah Fiqh Islam atau Syari’at Islam, iaitu: “Hasil daya upaya para fuqaha’ dalam menerapkan syariat Islam sesuai dengan keperluan masyarakat”. Hukum Islam itu ialah bukan sahaja nas-nas Syarak yang terkandung dalam al-Quran dan as-Sunnah tetapi juga pemahaman para fuqaha’ terhadap nas-nas itu tadi yang tentunya berbeza dalam beberapa hal, berasaskan kepada perbezaan ilmu, pengalaman serta juga persekitaran yang mempengaruhi mereka.

Hukum Islam adalah satu bahagian yang tidak terpisah dari Syariat Islam. Ianya terasas selaras dengan kelahiran Syariat itu sendiri dan berkembang mengikut lunas-lunas yang digariskan olehnya. Asas-asas hukum Islam telah lahir bersama dengan turunnya wahyu yang pertama kepada Nabi Muhammad s.a.w dan berkembang pada peringkat awalnya sejajar dengan perkembangan penurunan wahyu itu sendiri. Apabila wahyu ini telah tamat turunnya dan Nabi Muhammad telah wafat, pembinaan asas hukum Islam ini juga telah tamat dan sempurna. Pada peringkat ini segala-galanya telah tersedia ada dan cukup untuk menjadi suatu sistem perhukuman yang lengkap untuk semua zaman dan tempat tanpa memerlukan tokok tambah lagi.

Segala perkembangan yang berlaku terhadap hukum Islam sesudah zaman Nabi Muhammad s.a.w. bukan lagi melibatkan asas-asasnya yang sudah sempurna itu tetapi cuma melibatkan pentafsiran dan pengembangan idea-idea yang ada dalam asas itu sendiri sesuai dengan kehendak zaman dan keadaan. Tegasnya, hukum Islam adalah suatu himpunan nilai yang di dalamnya berpadu nilai-nilai yang ketat dan fleksibel yang bekerjasama secara harmonis. Ianya suatu hukum yang asasnya telah siap dibina sejak zaman Nabi Muhammad s.a.w. dan tidak mungkin menerima perubahan lagi tetapi pentafsirannya akan terus menerima perkembangan tanpa henti-henti sesuai dengan perkembangan hidup manusia.

Wahyu yang pertama sekali turun ialah pada 17 Ramadhan tahun ketiga belas sebelum Hijrah, bersamaan tahun 610 Masihi. Ianya juga adalah titik permulaan kepada kerasulan Muhammad s.a.w. Dengan turunnya wahyu ini pembinaan asas hukum Islam pun bermula. Ianya terbina sedikit demi sedikit secara beransur-ansur selama lebih kurang 23 tahun, iaitu sepanjang umur Nabi Muhammad sesudah Baginda dilantik oleh Allah sebagai Rasul.

Wahyu-wahyu yang turunkan ini terbahagi kepada dua bentuk. Pertamanya ialah berupa al-Quran dan satu lagi berupa as-Sunnah, atau disebut juga al-Hadis. Yang disebut sebagai al-Quran ialah wahyu-wahyu yang pengertian dan lafaznya sekali dari Allah, sedangkan as-Sunnah pengertiannya sahaja yang didatangkan dari Allah sedangkan lafaznya adalah dari Nabi Muhammad sendiri.

Dengan dua bentuk wahyu ini Rasulullah s.a.w. mengajar umat Islam, terutama para sahabatnya, mengenai segala hukum yang ditentukan oleh Islam. Dan dengan pendidikan serta bimbingan secara langsung ini para sahabat bukan sahaja menjadi orang-orang yang mampu memahami kehendak nas-nas syarak yang terkandung dalam wahyu-wahyu itu tetapi juga kehendak sebenar syarak di sebalik apa yang boleh difahami dari wahyu-wahyu itu sendiri.

Generasi pertama Islam yang terdidik di sekolah wahyu inilah kemudiannya menjadi pengasas-pengasas yang mengasaskan teori pengembangan hukum Islam melalui tunjuk ajar mereka kepada generasi terkemudian dengan berpandukan segala tunjuk ajar serta latihan yang telah diberikan kepada mereka oleh Nabi sendiri.

Di dalam mengasaskan hukum Islam ini wahyu telah diturunkan oleh Allah secara beransur-ansur. Ianya tidak diturunkan secara sekaligus untuk menerangkan selok-belok hukum kesemuanya sekali. Sebaliknya wahyu telah mengambil masa selama lebih kurang 23 tahun untuk menerangkan hukum-hukum itu sesuai dengan keperluan masa dan keadaan. Dengan demikian hukum Islam telah terbina dengan teratur dan disertai dengan latar belakang yang boleh menolong di dalam memahaminya di setiap zaman.

4.0 PEMBINAAN ZAMAN MEKAH DAN MADINAH

Wahyu-wahyu yang diturunkan ini boleh dikategorikan kepada dua peringkat yang mempunyai ciri-ciri yang tersendiri dari segi pembinaan hukum. Peringkat-peringkat ini ialah peringkat Mekah dan peringkat Madinah. Wujudnya ciri-ciri yang berbeza antara dua peringkat ini dapat dilihat terutama sekali dalam al-Quran.

a. Wahyu Zaman Mekah

Dalam jangka masa selama lebih kurang dua belas tahun ianya turun di Mekah, wahyu lebih menitikberatkan tentang pembinaan akidah. Ini kerana akidah adalah suatu asas yang paling utama bagi penerimaan pengajaran Islam sepenuhnya. Dalam peringkat ini, wahyu-wahyu tersebut menumpukan kepada hal-hal mengenai mentauhidkan Allah dan meninggalkan kepercayaan lama zaman jahiliyyah, keimanan kepada rasul, para malaikat, kebangkitan semula sesudah mati, perhitungan amalan (al-hisab), hari akhirat dan sebagainya. Termasuk juga dalam penumpuan ini ialah hal-hal mengenai pembinaan akhlak yang mulia, menggunakan fikiran buat meneliti keagungan Allah melalui kejadian-Nya dan sebagainya. Begitu juga terdapat di antara wahyu-wahyu ini yang memperkatakan tentang cerita-cerita lama sebagai bahan renungan dan malah bertujuan memujuk hati Rasulullah s.a.w. agar tidak merasa serik atau kecewa dalam menghadapi kejerihan perjuangan menegakkan agama Allah itu.

Pada peringkat ini hukum-hukum amali tidak banyak diperkatakan oleh wahyu. Ada tidaknya hanyalah hukum-hukum yang bertujuan untuk mengawal akidah umat Islam dari nilai-nilai syirik seperti hukum haram memakan bangkai dan darah ataupun memakan sembelihan yang tidak disebut padanya nama Allah. Paling tinggi ialah hukum yang mengatur hubungan manusia dengan Tuhannya seperti hukum-hukum mengenai ibadat sembahyang dan sebagainya.

b. Wahyu Zaman Madinah

Peringkat ini bermula sesudah Rasulullah berhijrah ke Madinah. Tidak lagi seperti di zaman Mekah, wahyu-wahyu di peringkat ini telah mencakupi semua bidang hidup samada berupa akidah, akhlak, sosial, politik, ekonomi dan sebagainya. Ini kerana dengan berlakunya hijrah, umat Islam telah mula mendirikan negara Islam yang pertama di Madinah. Dalam penyusunan ini segala peraturan diperlukan dan keperluan-keperluan ini dipenuhi oleh wahyu. Dengan wujudnya wahyu-wahyu zaman Madinah ini, Islam bukan sahaja lengkap dengan nilai-nilai akidah tetapi juga dengan semua nilai yang diperlukan oleh manusia dalam hidup mereka di dunia dan di akhirat.

5.0 KAEDAH PEMBINAAN HUKUM

Ada dua kaedah yang digunakan oleh wahyu dalam melakukan pembinaan asas hukum Islam ini. Kedua-duanya ialah menyelesaikan persoalan yang dihadapi dan memberi ketentuan hukum terhadap sesuatu yang belum terjadi.

 
a. Menyelesaikan persoalan yang telah dihadapi

Berdasarkan kaedah ini, sesuatu hukum itu hanya akan diterangkan oleh wahyu sesudah ada peristiwa atau pertanyaan mengenainya. Apabila berlaku sesuatu peristiwa yang belum ada hukum mengenainya atau timbul sesuatu persoalan dalam kalangan umat Islam, Nabi s.a.w. akan menunggu kedatangan wahyu yang akan menerangkan hukum dan menjawab persoalan berkenaan. Biasanya wahyu akan datang dengan segera samada dalam bentuk ayat-ayat al-Quran ataupun dalam bentuk hadis. Tetapi jika wahyu tidak datang, Nabi s.a.w. akan berijtihad dan memberikan hukum sementara yang nantinya akan diputuskan oleh wahyu, samada ianya tepat atau tidak.

Contoh hukum-hukum yang diterangkan oleh Syariat Islam dalam bentuk begini ialah hukum haram berkahwin dengan wanita musyrik, hukum jangan berat sebelah dalam melakukan pengadilan dan sebagainya. Antaranya juga ialah hukum-hukum seperti hukum mengenai darah haid, arak dan judi, bulan-bulan haram, anak-anak yatim dan sebagainya.

Menilai kaedah ini kita dapat fahami bahawa pembinaan hukum Islam itu telah dilakukan oleh wahyu dengan mengambil kira perkembangan dan keperluan semasa. Ini mungkin suatu cara yang akan memudahkan penerimaannya dalam kalangan masyarakat sebagai hukum-hukum yang realistik dan juga yang menjadikan pembinaan hukum itu sendiri sebagai suatu penyusunan yang rapi. Ringkasnya, kaedah ini memberi erti bahawa Islam tidak memandang hukum itu sebagai longgokan idealisme yang tidak mengambil kira masa dan keadaan di mana ianya akan dilaksanakan. Malah sebaliknya ia adalah suatu siri ketentuan-ketentuan yang perlu berkembang sejajar dengan perkembangan realiti dan keperluan terhadapnya.

b. Menerangkan hukum tentang apa yang belum berlaku

Ini adalah kaedah kedua bagi wahyu dalam menerangkan dan mengasaskan hukum Islam. Mengikut kaedah ini, sesuatu hukum itu akan diterangkan oleh wahyu bukan kerana berlaku apa-apa peristiwa yang memerlukannya, atau timbul apa-apa pertanyaan mengenainya. Ianya diterangkan oleh wahyu dengan perhitungan bahawa masanya sudah sampai untuk melaksanakannya dalam masyarakat. Contoh hukum yang diterangkan oleh wahyu secara ini adalah seperti kewajipan melakukan ibadat, peraturan-peraturan nikah kahwin, urusan hidup, jenayah dan sebagainya.

Menilai kaedah ini kita dapat fahami bahawa meskipun hukum Islam itu menitikberatkan realiti namun dalam banyak hal ia merasa perlu mendedahkan nilai kebaikannya secara lebih awal. Tujuannya ialah untuk mendorong masyarakat kepada nilai-nilai tadi dengan secara sedar. Layaknya, hukum Islam bukan sahaja berfungsi sebagai penilai tentang apa yang telah berlaku tetapi juga pemandu ke arah perlakuan-perlakuan yang lebih baik dari beberapa kemungkinan lain yang akan berlaku tanpa panduan darinya.

 
6.0 SUMBER HUKUM PADA ZAMAN PEMBINAAN

Terdapat dua sahaja sumber hukum di zaman pembinaan ini iaitu al-Quran dan as-Sunnah. Kedua-dua al-Quran dan as-Sunnah ini adalah wahyu-wahyu dari Allah yang disampaikan melalui Nabi Muhammad s.a.w. Segala pengertian dan kehendak yang terdapat di dalam kedua-duanya adalah dari Allah s.w.t. Apa yang berbeza antara kedua-dua jenis wahyu ini hanyalah pada lafaz dan perkataannya sahaja, di mana setiap lafaz dan perkataan yang terdapat dalam al-Quran adalah dari Allah sedangkan lafaz-lafaz dan perkataan-perkataan yang terdapat dalam hadis maka ianya dari Rasulullah s.a.w. sendiri. Atas sifat inilah maka al-Quran disebut sebagai kalamullah sedangkan hadis disifatkan sebagai Hadis atau Sunnah Rasulullah.

Dalam berfungsi sebagai sumber hukum al-Quran bertindak sebagai sumber yang utama. Darinyalah lahir prinsip-prinsip utama. Sementara as-Sunnah pula berfungsi sebagai pengulas kepada al-Quran, yang kadangkala untuk memahami isi tertentu al-Quran kita memerlukan Sunnah ini. Berdasarkan hakikat ini, para ulama biasanya meletakkan al-Quran sebagai sumber pertama dan as-Sunnah sebagai sumber kedua hukum.

 
7.0 IJTIHAD BUKAN SUMBER HUKUM PADA ZAMAN PEMBINAAN

Dalam keterangan yang lepas, telah kita katakan bahawa Nabi s.a.w. pernah berijtihad dalam menentukan hukum. Hal seperti ini dilakukan oleh Baginda apabila wahyu lambat turun untuk menjawab persoalan-persoalan segera yang timbul. Ijtihad ini kadangkalanya dilakukan oleh Baginda secara perseorangan dan kadangkalanya pula Baginda s.a.w. meminta pendapat para sahabat Baginda.

Bagaimanapun, ini bukan bererti bahawa ijtihad merupakan suatu sumber pada waktu itu. Ini kerana apa pun juga hukum yang ditentukan melaluinya ia bukan merupakan suatu hukum yang tetap tetapi sebaliknya merupakan hukum sementara sahaja. Dalam setiap kes, hukum ini kemudiannya akan ditentukan oleh nas wahyu sendiri samada akan diterima dan dikekalkan sebagai hukum yang sebenarnya ataupun ditolak. Jadinya, yang menjadi sumber hukum yang sebenarnya dalam kes-kes seperti ini ialah wahyu sendiri.

Dalam al-Quran terdapat banyak kes ijtihad Nabi ditolak. Malah dalam beberapa kes tertentu Nabi s.a.w. ditegur kerana melakukan ijtihad yang salah. Antara kes-kes tersebut ialah:-

i. Kes mengenai tawanan perang Badar. Dalam peperangan ini tentera Islam menawan banyak tentera-tentera musyrikin. Rasulullah lalu meminta nasihat para sahabatnya tentang apa yang harus dilakukan terhadap tawanan-tawanan yang banyak itu. Keputusan yang diambil dalam perbincangan itu ialah melepaskan mereka dengan secara membayar tebusan. Keputusan ini kemudiannya ditegur oleh Allah sebagai tidak bijak.

ii. Persediaan yang dilakukan oleh Nabi Muhammad dan umat muslimin bagi menghadapi peperangan Tabuk dilakukan dalam keadaan jerih (kekurangan bekalan) dan berhawa panas. Keadaan ini telah menimbulkan rasa kurang selesa di kalangan umat Islam yang kurang iman. Di samping itu golongan munafikin juga mencari berbagai-bagai alasan untuk tidak ikut sama keluar berperang. Kumpulan-kumpulan ini telah datang menghadap Rasulullah serentak dengan mereka yang benar-benar berkeuzuran untuk meminta pengecualian dari menghadirkan diri dalam peperangan yang akan diharungi itu tanpa membuat pengkelasan yang teliti di antara mereka yang sebenar-benarnya uzur dan para munafikin ini Nabi meluluskan semua permohonan itu dan semua mereka dibenarkan tidak ikut serta dalam peperangan berkenaan. Keputusan ini kemudiannya telah ditegur oleh Allah S.W.T dan disifatkan sebagai tidak menepati kebenaran.

 
8.0 CIRI-CIRI HUKUM ISLAM PADA ZAMAN PEMBINAAN

Hukum Islam terbina atas landasan wahyu, samada berupa Al-Quran atau As-Sunnah. Ciri-cirinya pada zaman pembinaan ini adalah seperti berikut:

 
a. Tidak berlaku apa-apa perselisihan pendapat tentang hukum

Ini kerana segala hukum yang ditentukan pada waktu itu secara tidak langsung berdasarkan wahyu tidak seperti di zaman-zaman terkemudian, pada zaman pembinaan ini penentuan hukum adalah suatu ikhtisas yang hanya akan dilakukan oleh Nabi Muhammad S.A.W sahaja dengan berdasarkan wahyu. Tidak ada siapa yang berhak mencampuri urusan ini termasuk juga pandangan peribadi dan ijtihad Nabi Muhammad S.A.W sendiri.

Memang pernah terdapat dan pernah berlaku perselisihan pendapat antara para sahabat dan malah melibatkan Rasulullah sendiri, pada zaman ini, mengenai suatu kes tertentu. Tetapi perselisihan-perselisihan seperti ini tidak dikira sebagai perselisihan mengenai hukum. Ini kerana meski apapun pendapat yang ada ianya terus merupakan pendapat sementara yang akan ditentukan betul atau salah oleh wahyu yang datang kemudiannya. Dalam kata lain, pendapat-pendapat itu merupakan hasil ijtihad sementara yang akan tertakluk kepada wahyu dan tidak berwenang dalam menentukan hukum.

 
b. Berlaku pindaan (Nasakh) terhadap setengah-setengah hukum

Nasakh ertinya secara mudah ialah menggantikan sesuatu hukum dengan hukum-hukum yang lain, samada pada keseluruhan atau sebahagiannya sahaja. Dalam bahasa moden boleh kita sebut sebagai pindaan.

Pada peringkat pembinaan ini kadang-kadang sesuatu hukum itu ditentukan oleh syara’ bukan sebagai suatu keputusan atau ketentuan terakhir tetapi sebaliknya sebagai hukum yang menerima perubahan oleh tujuan-tujuan tertentu. Hukum-hukum ini telah dipinda oleh wahyu yang datang terkemudian samada dalam rangka menguatkuasakan hukum secara beransur-ansur atau semata-mata menggantikan hukum-hukum yang memang bersifat sementara pada sisi syara’. Dalam melakukan perubahan ini kadang-kadangnya syara’ mengubah seluruh hukum berkenaan dan kadang-kadangnya pula meminda sebahagiannya yang perlu sahaja.

Dalam Al-Quran terdapat banyak contoh pindaan ini. Antaranya ialah mengenai hukum wasiat. Mengikut hukum yang pertama sekali diturunkan oleh wahyu, wasiat adalah wajib dilakukan oleh setiap orang sebelum kematiannya. Firman Allah:


180. kamu diwajibkan, apabila seseorang dari kamu hampir mati, jika ia ada meninggalkan harta, (hendaklah ia) membuat wasiat untuk ibu bapa dan kaum kerabat dengan cara yang baik (menurut peraturan agama), sebagai suatu kewajipan atas orang-orang yang bertaqwa.



c. Kebanyakkan hukum yang ditentukan oleh nas-nas Al-Quran atau As-Sunnah di zaman pembinaan ini disertakan dengan ilat mengapa ianya ditentukan.

Ilat boleh ditafsirkan sebagai sebab khusus kepada penentuan hukum seperti itu. Dalam kata lain ianya merupakan sebab khusus mengapa hukum berkenaan ditentukan. Ilat ini akan sentiasa menjadi asas untuk memahami latar belakang sesuatu hukum berkenaan, juga merupakan sebagai sandaran kepada usaha melanjutkan hukum yang serupa kepada kes-kes lain yang tidak dinaskan oleh Al-Quran dan As-Sunnah.

Antara contoh hukum-hukum yang disertakan dengan ilat ini ialah hukum haramnya arak. Dalam hal ini Allah menerangkan bahawa pengharaman arak adalah oleh sebab-sebab tertentu.


90. Wahai orang-orang Yang beriman! Bahawa Sesungguhnya arak, dan judi, dan pemujaan berhala, dan mengundi nasib dengan batang-batang anak panah, adalah (semuanya) kotor (keji) dari perbuatan syaitan. oleh itu hendaklah kamu menjauhinya supaya kamu berjaya.

91. Sesungguhnya syaitan itu hanyalah bermaksud mahu menimbulkan permusuhan dan kebencian di antara kamu dengan sebab arak dan judi, dan mahu memalingkan kamu daripada mengingati Allah dan daripada mengerjakan sembahyang. Oleh itu, mahukah kamu berhenti (daripada melakukan perkara-perkara yang keji dan kotor itu atau kamu masih berdegil)?


9.0 PELAKSANAAN DAN PENULISAN HUKUM PADA ZAMAN PEMBINAAN

Yang dimaksudkan dengan pelaksanaan hukum di sini ialah penguatkuasaan hukum itu sendiri dalam masyarakat. Sebagaimana umum diketahui Islam bukannya suatu pengajaran yang semata-mata mementingkan hukum akhirat. Ia malah sebaliknya suatu agama yang penuh dengan hukum-hukum praktikal yang perlu dilaksanakan di dunia ini. Pengukuran apakah terlaksana atau tidaknya Islam itu di dalam sesuatu masyarakat banyak bergantung kepada samada terlaksana atau sebaliknya hukum Islam dalam masyarakat berkenaan.

Pada zaman pembinaan ini hukum Islam dilaksanakan peringkat demi peringkat mengikut keperluan dan kaedah tertentu. Penghukuman dibuat mengikut apa yang sebenarnya telah berlaku. Hukum-hukum ini akan terlaksana atas kes-kes serupa yang datang kemudiannya. Ini kerana hukum Islam itu meskipun pada mulanya ditentukan atas kes-kes tertentu tetapi ianya bermaksud menjadi hukum bagi segala kes yang serupa bagi setiap zaman.

Mengenai penulisan, meskipun pada umumnya Al-Quran dihafal oleh para sahabat namun Rasulullah sendiri menggunakan beberapa orang jurutulis untuk menulis semua ayat-ayat yang diturunkan. Di samping itu para sahabat juga menulis ayat-ayat yang mereka mendengarnya sendiri dari Nabi untuk simpanan mereka sendiri. Sehingga Rasulullah wafat kedua-kedua penjagaan terhadap ayat-ayat Al-Quran ini terus berjalan seiring. Sebagai hasilnya Al-Quran tersimpan dalam hafalan dan dalam tulisan para sahabat secara sekaligus.

Keadaan yang berbeza sekali berlaku kepada hadis. Tidak sebagaimana Al-Quran, Rasulullah tidak pernah menggunakan sesiapa untuk menulis hadis. Malah pada peringkat awal baginda melarang para sahabat menulis sabdanya itu takut-takut kalau ianya bercampur-baur dengan Al-Quran. Apabila Nabi kemudiannya membenarkan hadis-hadis baginda dicatat barulah setengah sahabat mula mencatatnya. Walaubagaimanapun hadis terus dihafal oleh para sahabat dan telah dapat dikembangkan pengetahuan mengenainya pada waktu itu melalui lisan. Keadaan seperti ini terus kekal sehingga tarikh kewafatan Rasulullah S.A.W dan beberapa waktu kemudiannya sehinggalah ia dikumpul dan dituliskan oleh ulama-ulama hadis yang terkemudian.

 
RUJUKAN

1. Mohd Saleh Haji Ahmad, 1999, Pengantar Syariat Islam, Pustaka Haji Abdul Majid.

 
2. Mahmood Zuhdi Haji Abdul Majid, 1988, Sejarah Pembinaan Hukum Islam, Jabatan Penerbitan Universiti Malaya Kuala Lumpur.

3. Teungku Muhammad Hasbi ash Shiddieqy, 1987, Falsafah Hukum Islam, PT Pustaka Rizki Putra Semarang.

Tiada ulasan: