JellyPages.com

Selasa, 6 November 2012

SEJARAH PERKEMBANGAN ILMU BALAGHAH DAN FASOHAH



1.0 PENGENALAN ILMU BALAGHAH

Balaghah memberi makna yang agung dan jelas, dengan ungkapan yang benar dan fasih, memberi bekas yang berkesan di lubuk hati, dan sesuai dengan situasi, keadaan dan orang-orang yang diajak bicara. Ilmu Balaghah ditakrif oleh kalangan ahli bahasa sebagai:

“Melaksanakan makna yang unggul lagi jelas, dengan ibarat yang betul lagi lancar, ianya memberi kesan tarikan yang mendalam kepada diri seseorang, beserta keseuaian setiap ucapan yang dilafazkan dengan tajuk perbincangan, di sampingberseuaian dengan orang yang ditujukan percakapan itu.” (Ali al-Jarim dan Mustapa Amin 1951: 8).


Secara ilmiah, Balaghah merupakan suatu disiplin ilmu yang berlandaskan kepada kejernihan jiwa dan ketelitian dalam menghayati keindahan dan penjelasan perbezaan yang samar di antara pelbagai ungkapan. Pada kebiasaannya, kajian Balaghah ini merupakan pokok utama dalam membentuk bahasa kesusasteraan dan menggiatkan kembali beberapa bakat yang terpendam. Untuk mencapai tingkatan itu, seseorang itu haruslah membaca karya-karya sastera, menganalisis dan membandingkan karya-karya sastera dan harus memiliki kepercayaan pada diri sendiri sehingga mampu menilai baik dan buruk terhadap sesuatu karya sastera sesuai dengan kemampuannya.

Ahli-ahli bahasa menyamakan Balaghah dengan retorika. Gorys Keraf dalam bukunya Diksi dan Gaya Bahasa, seperti mana yang tercatat dalam karya Siti Saudah Haji Hassan (1999: 43), mendefinisikan retorika sebagai satu istilah tradisional bagi teknik perhiasan bahasa sebagai seni percakapan atau penulisan dalam sesuatu bidang ilmu pengetahuan atau sebagai suatu metod yang tersusun yang menjadi panduan dalam pembinaan ayat untuk mempengaruhi sikap dan perasaan orang. Unsur-unsur Balaghah adalah kalimah, makna dan susunan kalimah yang memberi kekuatan, pengaruh dalam jiwa dan keindahan serta ketelitian dalam memilih kata-kata dan uslub sesuai dengan tempat bicaranya, waktunya, temanya, keadaan para pendengarnya, dan emosional yang dapat mempengaruhi dan menguasai mereka.(Ali al-Jarim dan Mustafa Amin, 1998). Menurut Abdul Kadir Hussain di dalam karya Salmah Hj. Ahmad (1999:15), ilmu Balaghah merupakan suatu ilmu yang menarik kerana ia melengkapkan percakapan seseorang dengan perkataan, makna dan gaya bahasa yang indah sepertimana yang kita dapat rumuskan daripada definasi berikut, iaitu ilmu yang membicarakan cara memilih rangkai kata yang jelas maknanya dan menyusunnya dengan cara yang indah serta menggunakan perkataan-perkataan yang sesuai dengan tujuan yang dikehendaki.


2.0 SEJARAH PENGUMPULAN ILMU BALAGHAH

Ketiga-tiga bahagaian ilmu balaghah ini bukannya timbul atau muncul secara serentak tetapi telah mengalami peringkat demi peringkat dengan pelbagai tahap dan zaman. Apabila berlaku banyak pembukaan-pembukaan ibu kota Islam yang menyaksikan ramai manusia menerima ajaran Islam, maka berlakulah pencampuran antara orang-orang Arab dengan bangsa-bangsa lain. Penduduk tempatan dari pelbagai bangsa dan etnik telah mula bergaul dengan orang-orang Arab sama ada dari segi politik, ekonomi, sosial, bahasa dan sebagainya. Percampuran ini memberi kesan yang amat mendalam kepada penggunaan bahasa dan gaya bahasa Arab.

Kesilapan dan kejanggalan banyak berlaku dari sudut gaya bahasa yang digunakan. Walaupun dituturkan dalam bahasa Arab tetapi kesan kesan daripada bahasa tempatan asal mempengaruhi sebutan, gaya bahasa, slang dan lain-lain. Ini ditambah pula dengan kesilapan membariskan perkataan dari struktur ayat. Jadi kesalahan-kesalahan dari sudut Nahu, Saraf dan gaya bahasa banyak didapati dengan meluas.

Para ulama bahasa telah berusaha untuk memperbaiki keadaan ini dengan mengemaskini kedudukan bahasa Arab menyebabkan lahirnya ilmu-ilmu yang bertujuan memperkukuhkan Bahasa Arab. Antaranya ialah ilmu Bahasa, Nahu dan Saraf. Selepas itu, barulah timbul usaha-usaha untuk memperkemaskan gaya bahasa termasuk dari sudut keindahan yang membuka jalan kepada ilmu al-Balaghah.

3.0 BAHAGIAN-BAHAGIAN ILMU BALAGHAH

Ilmu Balaghah ini pula terdiri daripada tiga pecahan ilmu yang membicarakan penggunaan bahasa dari sudut yang berbeza-beza. Pecahan tersebut ialah ilmu Ma’ani, ilmu Bayan dan ilmu Badi’.
Pengertian bagi ilmu Ma’ani menurut Abd Kadir dalam karya Salmah Hj Ahmad (1999: 16), ialah ilmu yang mengkaji keadaan perkataan atau lafaz dari penyesuaiannya dengan tujuan yang dikehendaki. Antara aspek yang dibahaskan di dalam ilmu ini ialah al-khabar, alinsya’, uslub al-amr, al-nahy, al-istifham, al-nida, al-fasl, al-wasl, al-tawkid, al-ijaz, dan al-itnab.

Ilmu Bayan pula ialah satu disiplin yang berfungsi menyatakan kehendak dalaman individu yang menepati kehendak yang diluahkan dan semestinya bersesuaian dengan keadaan, melalui pelbagai gaya bahasa dan penjelasan yang dapat difahami oleh penerima secara aqli atau logik. (Siti Saudah Haji Hassan, 1999 :43). Ilmu Bayan juga bertindak sebagai asas untuk membasmikan kecacatan makna dan ayat. Tegasnya, kemantapan ilmu Balaghah terletak kepada kejituan ilmu Bayan. Ia seterusnya membantu dalam memantapkan bahasa supaya kekal dengan keindahannya. Skop perbahasannya pula merangkumi aspek tasybih, majaz, isti’arah, dan kinayah.

Ilmu Badi’ pula ialah ilmu untuk mengetahui kepelbagaian cara memperindah perkataan selepas menentukan kesesuaiannya dengan keadaan dan kejelasan maknanya. Cara cara ini terbahagi kepada dua bahagian, pertama, penghias lafaz yang dinamakan al-muhassinat al-lafziyyah dan yang kedua, penghias makna yang dinamakan al-muhassinat al-maknawiyyah. (Ahmad Hifni Muhammad Ali 1999: 129) dua bahagian yang di sebut di atas juga adalah skop perbahasan bagi ilmu ini.

Masyarakat Arab Jahiliyyah mempunyai kedudukan yang tinggi dari segi Balaghah dan Bayan. Sebagaimana yang digambarkan oleh al-Quran. Begitu juga, mereka ini suka berbantah-bantah dan mempunyai dalil-dalil yang agak kukuh serta kuat. Antara contohnya, mereka ingin mengajak kaum mereka untuk melawan al- Quran dari segi Balaghah. Seruan itu dengan jelas, menunjukkan bahawa mereka diberi kefasihan atau kelebihan dan kekuatan menggunakan ayat-ayat Balaghah. Diriwayatkan bahawa Al-Walid bin al-Mughirah, iaitu salah seorang yang menentang Rasulullah, apabila beliau mendengar sesetengah daripada ayat al-Quran, beliau berkata:

“Demi Allah, sesungguhnya aku telah mendengar beberapa ayat daripada Muhammad yang mana ia bukan daripada perkataan seorang manusia atau Jin, ia sangat indah dan berbunga-bunga.” (Syauqi Dhaif ,1965).


4.0 PENULISAN ILMU BALAGHAH

Buku yang paling awal dapat dikesan berkaitan dengan Balaghah iaitu dalam ilmu al-Bayan yang dinamakan dengan kitab Majaz al-Quran pengarangnya ialah Abu Ubaidah Muammar bin al-Muthanna (wafat pada tahun 206 H). Buku ini dikarang oleh beliau sebagai menjawab pertanyaan yang dikemukakan kepada beliau semasa berada dalam majlis al-Fadli bin Ibnu al-Rabi’ iaitu Gabenor Basrah pada masa pemerintahan Al-Makmun bin Harun al-Rasyid. Soalan yang dikemukakan kepada beliau adalah berkaitan dengan pokok zaqqum seperti yang diceritakan oleh Allah dalam al-Quran :

طَلْعُهَا آَأَنَّهُ رُءُوسُ الِشَّيَاطِين

Terjemahannya : Buahnya seolah-olah kepala syaitan. (Surah al-Saffat, 37:65)

Persoalannya: Bagaimanakah diumpamakan mayang pokok tersebut dengan kepala syaitan, sedangkan tiada siapa pun mengenalinya. Sepatutnya tasybih dilakukan dengan sesuatu yang dikenali untuk memperjelaskan sesuatu perumpamaan. Abu Ubaidah menjawab : Perkara ini sama dengan apa yang telah dinyatakan oleh Umru al-Qais dalam syairnya :

أيقتلنى والمشرفي مضاجعى * ومسنونة زرق آأنياب أغوال

Maksudnya : Adakah dia nak membunuhku, sedangkan pedang al-Masyrafi ku jadikan

sebagai bantal. Dan begitu jua mata-mata tombok yang tajam seperti taring-taring

jembalang.

Beliau menyatakan : Musyabbah bih dalam ayat ini juga tidak jelas dan tidak dikenali. Tetapi tujuan perumpamaan ini dibuat adalah untuk menggambarkan musyabbah dalam gambaran yang buruk dan menakutkan. Sebab itulah Abu Ubaidah terus menulis mengenai perkataan-perkataan ayat dalam al-Quran yang tidak membawa maksud asal perkataan, tetapi yang tersirat di sebalik perkataan tersebut. Setelah selesai, karya ini dinamakan dengan Majaz al-Quran.

Adapun ilmu al-Maani tidak dapat diketahui dengan tepat siapa yang memulakannya, tetapi lahir daripada beberapa orang penulis dan pemidato berwibawa seperti Jaafar bin Yahya (salah seorang menteri di zaman Harun al- Rasyid) dan Sahl bin Harun (penyair Parsi penjaga al-Hikmah pada zaman Al-Makmun). Mereka mengeluarkan kata-kata yang berteraskan kepada ilmu Maani, tetapi tidak secara langsung. Orang yang mula-mula menghasilkan karya dalam bidang ini ialah Amru bin Bahr Al- Jahiz (wafat pada tahun 255 Hijrah). Antara karya beliau ialah al-Bayan wa al-Tibyan, Ijaz al-Quran dan lain-lain. Langkah ini diikuti oleh sarjana-sarjana selepasnya seperti Abu Abbas al-Mibrad (wafat pada 285 H). Pengarang buku al-Kamil, Qudamah bin Jaafar (wafat pada 337 H), pengarang buku Naqd al-Syair.

Sementara dalam ilmu al-Badi’, banyak penulis penulis yang menghasilkan buku masing-masing. Orang yang pertama menulis buku yang khusus dalam ilmu ini ialah Abdullah bin Al-Mu’taz (khalifah Abbasiyyah wafat tahun 296 H). Penyair yang datang kepada beliau banyak membawa kepelbagaian elemen dalam ilmu al- Badi’ dalam syair-syair mereka seperti Bisyar bin Bard, Muslim bin al-Walid, Abu Tamam dan lain lain. Ibnu Mu’taz telah mengumpul semua syair ini dalam tujuh belas jenis. Orang yang turut membantunya ialah Qudamah bin Jaafar yang Berjaya mengumpul sebanyak dua puluh jenis lagi dan diselaraskan dengan Ibnu Mu’taz hinggalah mereka menetapkan sebanyak tiga puluh jenis iaitu had maksimum yang terkumpul pada masa itu.

Zaman berikutnya ditambah lagi oleh penulis-penulis lain seperti Abu Hilal al-Askari (wafat 395 H), Ibnu Rasiq al-Qairawani (wafat 463 H pengarang al-‘Umdah). Ketiga-tiga ilmu ini iaitu Bayan, Maani, Badi’ masih dianggap sebagai ilmu yang berlainan dan tidak disatukan dalam tempoh tertentu hinggalah akhirnya dijadikan sebagai satu ilmu iaitu al-Balaghah oleh Abdul Qahir al-Jurjani (wafat tahun 471 H). Beliau telah menghasilkan dua karyanya yang agung dalam Balaghah iaitu Dalail al-Ijaz dan Asrar al-Balaghah. Begitu juga dengan Abu Yaakub al- Sakaki (wafat tahun 626 H) yang membahaskan ketiga-tiga jenis ilmu Balaghah ini dalam bukunya yang masyhur sebagai Miftah al-Ulum.

Kesimpulannya, antara individu yang memberi sumbangan yang besar kepada perkembangan ilmu ini ialah:

• Abu ’Ubaydah, Ma’mar bin Muthanna (meninggal 211H), dengan bukunya Majaz al-Quran

• Abu ’Uthman ’Amru bin Bahr, al-Jahiz (meninggal 255H), dengan bukunya al-Bayan wal-Tabyin dan I’jaz al-Quran.

• ’Abdullah bin Muslim bin Qutaybah al-Daynuri (meninggal 275H), dengan bukunya Ta’wil Mushkil al-Quran.

• Abu al-’Abbas al-Mubarrid (meninggal 286H), dengan bukunya al-Kamil fi al-Lughah wa al-Adab.

• Abdullah bin al-Mu’taz (meninggal 296H), dengan bukunya al-Badi’.

• Qudamah bin Ja’far (meninggal 337H), dengan bukunya Naqd al-Shi’ir

• Abu Hilal al-’Askari (meninggal 395H), dengan bukunya al-Sina’atayn

• Abu Bakar Muhammad bin al-Tayyib al-Baqillani (meninggal 403H), dengan bukunya I’jaz al-Quran.

• Abu ’Uthman ’Amru bin Bahr, al-Jahiz (meninggal 255H), dengan bukunya al-Bayan waal-Tabyin dan I’jaz al-Quran.

• ’Ali bin bin ’Abd al-’Azizi al-Jurjani (meninggal 471H), dengan bukunya Dala’il al-I’jaz dan Asrar al-Balaghah.

• Mahmud bin ’Amr al-Zamakhshari (meninggal 538H), dengan bukunya Asas al-Balaghah dan lain-lain.

• Yusuf bin Abu Bakar al-Sakkaki (meninggal 626H), dengan bukunya Miftah al-’Ulum.

• Muhammad bin ’Abdullah bin Malik (meninggal 672H), dengan bukunya Alfiyah, dan tokoh-tokoh lain yang tidak dapat disebutkan.

Dengan berkat usaha mereka, Balaghah telah menjadi satu bidang ilmu yang tersendiri. Ia dianggap penting kepada sesiapa sahaja yang ingin menceburkan diridalam bidang bahasa dan sastera Arab. Bahkan ia menjadi kayu ukur kepada kebolehan ahli bahasa demi mencapai nilai ilmu yang hakiki. (Idris Abdullah 1999: ix).


5.0 KEPENTINGAN ILMU BALAGHAH

Ungkapan yang mempunyai nilai sastera tinggi telah lama dimiliki oleh orang-orang Arab, bahkan sebelum tersebarnya agama Islam lagi. Justeru, tidak menghairankan dari keindahan bahasa inilah yang membuatkan mereka terpegun apabila mendengarkan ayat-ayat suci al-Quran dan hadis, seterusnya memberikan mereka hidayat untuk memeluk agama yang suci ini, sebagaimana kisah Umar al- Khattab yang begitu terpesona dengan bacaan al-Quran yang dialunkan oleh adik perempuannya, lalu terus memeluk agama Islam dalam satu firman Allah S.W.T di dalam surah Ibrahim ayat ke 24 :

“Apakah engkau tidak melihat Allah memberikan suatu perumpamaan dengan kalimat yang baik seperti sebatang pohon yang baik, akarnya kukuh dan cabangnya menjulang ke langit. “

(Ibrahim : 24)

lnilah suatu ayat yang menggambarkan keindahan bahasa Arab itu sendiri, serta mempunyai nilai Balaghah yang tinggi. Jika dilihat dari istilah linguistik, ilmu Balaghah ini juga boleh disebut sebagai ilmu semantik bahasa Arab. Penamaan sebagai ilmu semantik ini adalah sesuai bagi membandingkan disiplin ilmu semantik dan ruang lingkup bahasanya dari segi semantik bahasa Melayu. Namun begitu pengkaji berpendapat ilmu Semantik tidak boleh disamakan secara mutlak dengan ilmu Balaghah, ini kerana ilmu semantik hanya membahaskan unsur-unsur makna dan perkataan, manakala skop perbincangan dalam ilmu Balaghah adalah lebih luas, contohnya nilai keindahan bahasa serta kesesuaian ayat mengikut pendengar, dan lain- lain lagi yang tidak terdapat dalam bidang semantik.


Balaghah mempunyai kesan yang besar terhadap al-Quran. Kesedaran tentang kewujudan dan kepentingan bidang ilmu ini telah wujud jauh lebih awal dalam bahasa Arab, berbanding dengan bahasa-bahasa lain. Ilmu Balaghah memperlihatkan keindahan dan rahsia mukjizat al-Quran berdasarkan kajian gaya bahasanya dan cara menyampaikan makna-makna yang berbeza, disamping membuat perbandingan dengan gaya bahasa puisi dan prosa Arab. Balaghah tidak hanya wujud dalam bahasa Arab semata-mata, bahkan boleh didapati pada kebanyakan bahasa lain yang telah melalui berbagai-bagai bentuk peringkat perkembangan. Oleh itu, ilmu Balaghah dianggap sebagai ilmu bahasa yang terawal kemunculannya dalam Islam dan amat dititikberatkan oleh masyarakat Arab, terutamanya dalam memahami rahsia keunikan al-Quran dan membezakan perkataan yang baik dan sebaliknya. Ilmu Balaghah menjadi semakin penting apabila banyak kawasan baru dibuka pada zaman pemerintahan Islam dan penduduknya yang bukan berbangsa Arab berminat untuk mendalami bahasa Arab serta menghayati keseniannya (Ahmad Matlub,1964:76).
Jika diperhatikan pendapat para pakar, mereka lebih kuat (rajih) menyatakan Balaghah sebahagian daripada ilmu sastera. Ini kerana, apa yang dibincangkan dalam Balaghah adalah kebanyakannya hasil karya sastera atau bahasa yang mengandungi nilai-nilai sastera tinggi (bahasa al-Quran dan Hadis).


6.0 FASOHAH DAN PEMBAHAGIANNYA

Fasohah menurut bahasa adalah: Menampakkan yang jelas dan terang tanpa keraguan. Ia juga boleh dimaksudkan dengan fasih, lancar, tiada kecacatan

Fasohah terbahagi kepada dua bahagian iaitu, fasohah kalam dan fasohah kalimah.


I. Fasohah Kalam

 Ketidaksesuaian kalimat/lafaz

 Lemahnya susunan

 Kalimah yang jarang digunakan

 Susah untuk disebut

 Contoh:

في رَفْعِ عرْشِ الشَّرْعِ مثلُكَ يَشْرَعُ = وليسَ قُرْبَ قَبْرِ حَرْبٍ قَبْرُ

Maksud: Orang sepertimu adalah dia yang bertugas mengangkat tiang layar.

Di dekat kuburan Harb itu, tidak ada kuburan lain.


II. Fasohah Kalimah

 Ketidaksesuaian kalimat/lafaz

 Susah untuk disebut

 Jarang digunakan

 Contoh: الْهُعْخُعِ (Tanafur kalimat) تَكَأْكَأَ (Gharabah) بُوقاتٌ (Mukholafah qias)


7.0 RUJUKAN

1. http://digitaleprints.um.edu.my/3111/3/BAB2.pdf

2. http://nahwusharaf.wordpress.com/ilmu-balaghah-duruusul-balaghoh/pengertian-fashahah/

3. # http://ihdzain.wordpress.com/2008/08/20/ilmu-balaghah-sebagai-unsur-ilmu-tafsir/

4. http://repository.usu.ac.id/bitstream/123456789/1642/1/arab-rahimah4.pdf

Tiada ulasan: